Thursday, April 3, 2008

Tadbir secara telus dan adil, kerajaan Perak tetapkan lima langkah

Johari Jaafar

IPOH, 3 April (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak telah menetapkan lima langkah yang akan dijalankan untuk mempastikan pemerintahan kerajaan baru negeri ini berjalan secara telus dan adil.

Langkah pertama ialah bagi mempastikan satu pertiga ahli Majlis Kerajaan Tempatan dilantik dari kalangan bukan politik tidak saperti yang diamalkan oleh Kerajaan BN Perak sebelum ini di mana ahli berkenaan dimonopoli oleh golongan politik.

"Inilah pembaharuan yang kita hendak jalankan agar golongan akademik, profesional dan badan bukan kerajaan diberikan tempat dalam Majlis Kerajaan Tempatan agar mereka juga dapat menyumbangkan buah fikiran untuk kebaikan rakyat bersama," demikian ditegaskan oleh Menteri Besar Perak, Ir Mohammad Bizar Jamaluddin dalam sidang akhbar di pejabatnya semalam.

Menurut beliau, ramai dari kalangan kakitangan berjawatan tinggi yang telah bersara ingin menyumbangkan pandangannya bagi memajukan lagi Majlis Kerajaan Tempatan tetapi mereka tidak mempunyai ruang berbuat demikian.

Oleh kerana itu apabila Kerajaan Pakatan Rakyat menetapkan satu pertiga dari ahli majlis dilantik dari kalangan bukan ahli politik, ia akan memberikan ruang kepada pesara-pesara kakitangan kerajaan yang suatu ketika itu menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan.

Tambahnya, langkah kedua yang akan diambil, semua wakil rakyat dan Ketua Jabatan Kerajaan Negeri akan mengisytiharkan hartanya kepada Dewan Undangan Negeri bagi mempastikan ketelusan kerajaan yang ada sekarang ini.

"Langkah ini kita akan buat berperingkat-peringkat, buat pertamanya semua Exco Kerajaan Negeri dari ketiga-tiga parti akan mengisytiharkan hartanya dalam Dewan Undangan Negeri," jelasnya.

Sementara itu, semua projek-projek kerajaan akan melalui tender terbuka dan keutamaan akan diberikan kepada rakyat negeri Perak, sekaligus memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Pakatan Rakyat bagi mempastikan kelelusan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Perak.

"Kita mahu tender dibuat secara terbuka bukan seperti amalan yang dijalankan oleh Kerajaan BN sebelum ini yang boleh disifatkan tidak telus," jelasnya.

Bagi mempastikan setiap aduan yang dikemukakan oleh rakyat sampai kepada Kerajaan Negeri Perak, Kerajaan Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk mengwujudkan Lembaga Panel Aduan Rakyat agar setiap aduan ke atas kakitangan kerajaan negeri, wakil rakyat dan Exco dapat didengar dan diambil tindakan, katanya.

"Sesiapa sahaja boleh membuat aduan, melahirkan rasa tidak puas hati kepada Lembaga Panel Aduan Rakyat, kita berjanji akan mendengar semua aduan yang dibuat walaupun aduan itu ditujukan kepada wakil rakyat atau Exco Kerajaan Negeri,"ujar beliau.

Menurut beliau lagi, bagi mempastikan semua urusan Kerajaan Tempatan berjalan dengan baik, telus dan beramanah, Kerajaan Pakatan Rakyat juga telah bersetuju untuk membentuk satu Badan Audit Luar bagi semua urusan Kerajaan Tempatan.

"Inilah reformasi pentadbiran awal yang kita lalukan dan akan membuat lebih banyak pembaharuan bagi memperlihatkan apa yang kita janjikan dalam manifesto pilihan raya yang dibuat oleh Pakatan Rakyat akan dilaksanakan sesuai dengan slogan Perak Maju, Makmur dan Berkebajikan," tambah beliau.

Perak penentu masa depan Pakatan Rakyat

Warga Prihatin

Seluruh pemerhati politik semestinya teruja dengan kemunculan Pakatan Rakyat (Pakatan) sebagai gabungan parti-parti alternatif kepada Barisan Nasional (BN).

Pakatan Rakyat ini ditubuhkan setelah parti-parti pembangkang menerajui lima buah negeri di Semenanjung Malaysia. Kelima-lima negeri itu mempunyai ciri-ciri yang tersendiri, iaitu daripada sebuah negeri Melayu seperti Kelantan sehinggalah sebuah negeri yang dikuasi oleh kaum Cina seperti Pulau Pinang.

Dari segi kacamata pembangunan pula, parti-parti pembangkang menguasai negeri yang mempunyai antara teramai golongan miskin tegar sehinggalah sebuah negeri yang paling maju seperti Selangor.

Kemunculan Pakatan ini sudah pasti tidak boleh disamakan dengan beberapa gabungan parti pembangkang yang pernah wujud sebelum ini seperti Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Gagasan Rakyat dan Barisan Alternatif (BA).

Kesemua gabungan tersebut diwujudkan sebelum kemenangan dicapai khususnya sebagai satu usaha bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum.

Manakala penubuhan Pakatan pula adalah dilakukan selepas parti-parti pembangkang menerajui beberapa buah negeri dan menguasi lebih satu pertiga kerusi Parlimen.

Oleh sebab itu, kelainan situasi ini sudah tentu memberi perbezaan yang besar kepada Pakatan berbanding gabungan parti-parti pembangkang diwujudkan sebelum ini.

Paling tidakpun Pakatan tidak boleh disebut gabungan parti-parti pembangkang, kerana parti-parti yang menganggotainya telah menjadi kerajaan sama ada secara tunggal atau secara bersama di lima buah negeri.

Tokoh-tokoh yang ada dalam parti tersebut bukan lagi sekadar menjadi Ketua Pembangkang tetapi juga telah menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri. Malah parti-parti yang menganggotai Pakatan ini dikhabarkan sedang menuntut satu kerusi Speaker di Dewan Rakyat.

Maka kewujudan Pakatan kali ini sudah pasti memberi saingan yang sebenar kepada BN, di atas pentas yang agak sama rata. Sekiranya Pakatan berjaya mentadbir lima buah negeri itu dengan sebaiknya, tidak mustahil BN akan tumbang dalam PRU yang akan datang.

Antara kelima-lima negeri yang diterajui oleh Pakatan, negeri Peraklah merupakan negeri yang paling signifikan. Dengan pengertian mudah, sekiranya Pakatan berjaya mentadbir Perak dengan sebaik mungkin, maka tiada lagi alasan untuk tidak memberikan kepercayaan kepada Pakatan untuk memerintah negara pada masa akan datang.

Pakar ekonomi Dr Jomo pernah menyebut semasa era reformasi bermula 1998, antara faktor yang menyebabkan BN sentiasa menang ialah tiada satu gabungan alternatif yang diyakini rakyat untuk memerintah negara.

Sememangnya rakyat khususnya golongan pertengahan menyedari kebobrokan dan kepincangan BN dalam mentadbir negara, tetapi apakah pilihan yang ada pada mereka untuk menggantikan BN ini.

Rakyat tidak mungkin boleh memperjudikan masa depan mereka untuk memberikan amanah kepada parti-parti pembangkang ketika itu. Kebimbangan berlakunya kemusnahan negara oleh parti-parti yang tiada pengalaman memerintah berbanding kepincangan pentadbiran BN, maka rakyat memilih jalan selamat untuk mengekalkan BN.

Selama mana wujudnya krisis keyakinan terhadap parti-parti selain BN untuk memerintah negara, maka selagi itulah BN akan terus berkuasa. Sebenarnya rakyat khususnya golongan pertengahan bukannya tidak sedar dengan seribu satu kepincangan dan skandal yang dilakukan oleh BN, namun apakah lagi pilihan yang mereka ada untuk diberikan kepercayaan menerajui negara.

Kemunculan Pakatan sudah pasti ditunggu-tunggu oleh rakyat. Yang paling ditunggu-tunggu ialah natijah pentadbiran Pakatan di Perak. Selalunya kemenangan tipis seumpama di Perak ini akan mencetuskan ketidakstabilan politik. Dalam sejarah negara, situasi politik seperti di Perak ini selalunya tidak kekal lama hatta yang menerajuinya BN sendiri.

Menyedari hakikat tersebut, sekiranya Pakatan berjaya menunjukkan penguasaan politik yang baik seterusnya melaksanakan agenda pembangunan untuk rakyat di Perak, maka diyakini Pakatan akan berupaya menumbangkan BN pada PRU akan datang.

Pakatan di Perak mempunyai cabaran yang terbesar pada kali ini, dan secara fokusnya Ir. Nizar Jamaluddin sedang menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia. - telaahpolitik.blogspot.com

Monday, March 31, 2008

Senarai portfolio anggota Exco Perak diumumkan

IPOH 31 Mac — Pejabat Menteri Besar Perak hari ini mengumumkan senarai portfolio 10 anggota Exco kerajaan campuran negeri yang mengangkat sumpah jawatan Sabtu lepas dan portfolio yang dipegang Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin.

Menteri Besar bertanggungjawab bagi portfolio Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Keselamatan dan Pembangunan Luar Bandar.

Senarai portfolio bagi 10 anggota Exco yang terdiri daripada enam anggota Dewan Undangan Negeri dari DAP, tiga Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang wakil PAS, mengikut kenyataan yang dikeluarkan di sini ialah seperti berikut:

1. Ngeh Koo Ham (Adun Sitiawan): Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air dan Hal Ehwal Bukan Islam.

2. Nga Kor Ming (Pantai Remis): Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam.

3. A. Sivanesan (Sungkai): Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Sumber Manusia.

4. Seah Leong Peng (Pasir Bedamar): Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia dan Sukan.

5. Chen Fook Chye (Keranji): Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Pengguna.

6. Su Keong Siong (Pasir Pinji): Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Komunikasi.

7. Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang): Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pertanian dan Perdagangan.

8. Tai Sing Ng (Kuala Sepetang): Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Penerangan.

9.Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering): Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

10. Mohd Zainuddin Mohd Yusof (Lubuk Merbau): Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan.

- Bernama

Sumber : Utusan Malaysia


ADUN DAP Buntong di Perak keluar parti

KUALA LUMPUR 31 Mac - Krisis kerajaan campuran di Perak masih belum selesai apabila menerima tamparan terbaru ekoran pengumuman Ahli Dewan Undangan (ADUN) Buntong, A. Sivasubramaniam meletak semua jawatan dan keluar dari parti itu.

Sivasubramaniam dalam surat kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang salinannya dihantar kepada media, beliau berkata keputusan itu dibuat kerana tidak puas hati dan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Khoo Ham.

Katanya, Khoo Ham tidak menunaikan janji untuk mengagihkan kerusi Exco kepada dua pemimpin India yang dianggapnya sebagai tamparan dan penipuan kepada kaum itu di Perak. - Utusan.

Saturday, March 29, 2008

10 exco Perak angkat sumpah


setelah berjaya merampas Perak tiga minggu lalu, pakatan tiga parti pembangkang hari ini mula membentuk kerajaan apabila selesai membariskan 10 anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Istiadat angkat sumpah jawatan diadakan jam 11 pagi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar di depan Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah.
Ketiga-tiga parti pembangkang memperoleh 31 daripada 59 kerusi - dengan pecahan DAP (18), PKR (tujuh) dan PAS (enam).

Walaupun awalnya berdepan dengan kemelut pelantikan menteri besar Mohamad Nizar Jamaluddin dan kemudian pengagihan jumlah exco, mereka dipercayai dapat menyelesaikannya dengan agihan enam wakil DAP, tiga PKR dan satu PAS.

Mohamad Nizar, wakil rakyat PAS di Pasir Panjang, mengangkat sumpah pada 17 Mac.

Senarai penuh barisan exco yang mengangkat sumpah pagi ini:

Wakil DAP
pengerusi Perak Ngeh Koo Ham (wakil rakyat Setiawan),
setiausaha negeri Nga Kor Ming (Pantai Remis),
ahli jawatankuasa negeri Su Keong Siong (Pasir Pinji),
bendahari negeri Chen Fook Chye (Keranji),
ahli jawatankuasa eksekutif pusat A. Sivanesan (Sungkai), dan
penolong setiausaha pengurusan nasional Seah Leong Peng (Pasir Bedamar).

Wakil PKR
timbalan pengerusi Perak Tai Sing Ng (Kuala Sepetang),
bendahari negeri Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), dan
ketua penerangan bahagian Bukit Gantang Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering).

Wakil PAS
ahli jawatankuasa negeri Mohd Zainudin Mohd Yusof (Lubok Merbau).

Bagaimanapun portfolio 10 exco ini belum diumumkan.

Turut hadir di majlis itu, Raja di Hilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, setiausaha kerajaan negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim, mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria dan beberapa wakil rakyat BN.

Lima negeri yang kini dikuasai parti-parti telah selamat mengangkat sumpah menteri besar dan barisan exco negeri masing-masing walaupun pada awalnya menghadapi masalah dalaman di Selangor dan Perak.

Sementara di negeri yang dikuasai BN, hanya Terengganu yang belum menyenaraikan barisan exco selepas 21 hari berakhir pilihanraya umum awal bulan ini.

Menteri besar baru negeri itu, Datuk Ahmad Said, dijadual mengangkat sumpah esok selepas krisis pelantikan jawatan itu berlarutan selama hampir tiga minggu.

Barisan exco negeri akan diumumkan lebih kurang seminggu lagi.

MB Perak simbol perpaduan rakyat pelbagai kaum


Oleh: Tarmizi Mohd Jam
Sumber: Harakahdaily.net

KESIMPULANNYA, YAB Menteri Besar Perak yang baru, Ir. Mohd Nizar Jamaluddin seorang yang luar biasa dan tidak di ketengahkan sebelum ini kehebatannya menguasai empat bahasa utama dan tiga dialek Cina.

Hari itu, kawan saya yang turut melihat catatan sejarah berkenaan, kagum dan teruja dengan kemahiran berbahasa Ir. Mohd Nizar. Beliau bukan sahaja petah berbahasa Inggeris, juga mahir menggunakan bahasa Tamil dan Tionghua.

Pendek kata, Menteri Besar Perak itu telah memukau masyarakat kaum Cina yang hadir di majlis tersebut apabila beliau telah bertutur dengan bahasa Mandarin, Hokkien, Kantonese, Tamil, kemudiannya Inggeris dan Melayu.

Mereka yang hadir terus tergamam dengan kelebihan dan kemahiran Ir. Mohd Nizar itu.

Sebelum ini tiada Menteri Besar Perak, dan Menteri-Menteri Besar negeri lain (dari bangsa Melayu) yang fasih berbahasa Tionghua dan Tamil seperti Ir. Mohd Nizar.

Kebanyakannya, menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris. Barangkali kerana kelebihan ini, PAS Perak mengemukakan Ir. Mohd Nizar sebagai calon Menteri Besar kerana percaya bahasa mampu menyatukan rakyat pelbagai kaum.

Di Kelantan, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat juga petah berbahasa Arab dan Urdu. Selain dari bahasa Melayu dan Inggeris. Kelebihan ini, dianggap pemerhati politik sebagai suatu mata rantai dalam komunikasi dengan pelbagai peringkat masyarakat.

Ustaz Azizan Abdul Razak yang baru mengetuai Kerajaan Negeri Kedah juga mahir berbahasa Arab dan Inggeris selain berbahasa Melayu.

Lebih 5,000 hadirin dari masyarakat Tionghua di Dewan Dou Mu Ipoh, kebanyakannya terpukau dan tergamam apabila mendengar Ir. Mohd Nizar yang berbangsa Melayu, seorang Menteri Besar pula, menuturkan dengan fasih bahasa ibunda mereka dalam tiga dialek - Mandarin, Hokkien dan Kantonese.

Lagi mengejutkan dan menyentak emosi mereka, apabila Menteri Besar Perak itu berucap pula dalam bahasa Tamil yang petah.

Ini menyebabkan, hadirin terharu dan melihat ia suatu anugerah Tuhan kepada rakyat negeri Perak yang bersifat pelbagai kaum itu.

Dalam sunyi sedan terharu itu, dewan bergema dengan tepukan hadirin sebaik ucapan-ucapan dalam pelbagai bahasa tadi, dituturkan.

Itu tanda terima kasih dan terharu mereka kepada Menteri Besar dari PAS itu, ujar seorang rakan yang menceritakan semula program tersebut.

Saya memang bercadang untuk pergi ke sana hari itu. Beberapa kawan-kawan yang dipelawa, semua ada hal masing-masing. Dari Kuala Lumpur ke Ipoh, kalau seorang diri memandu, cukup membosankan.

Hasrat untuk menyelami dan melihat "kewibawaan" Menteri Besar Perak yang baru, YAB Ir. Mohd Nizar Jamaluddin tidak kesampaian.

Ir. Mohd Nizar dijemput hadir oleh pihak penganjur untuk berucap pada program forum terbuka itu. Beliau bukanlah ahli panel forum, tetapi diberi penghormatan untuk berucap.

Setiausaha PAS Perak ini, agak saya belumlah teruji selama ini berucap pada majlis-majlis besar politik seumpama itu. Apatah lagi, kini beliau seorang Menteri Besar.

Sayapun tidak pula mendengar sebelum ini, nama beliau ditonjolkan dalam program-program anjuran Lajnah Perpaduan Antara Kaum PAS Pusat yang dipengerusikan oleh Ustaz Dr. Mujahid Yusuf, yang kini menang di Parlimen Parit Buntar.

Barangkali, bukan sahaja Ir. Mohd Nizar tidak termimpi untuk menduduki kerusi nombor satu di Perak itu, malah rakan-rakan kepimpinan PAS yang lain rasanya, semacam tidak percaya PAS "memiliki" seorang Menteri Besar selepas 8 Mac lalu.

Itulah sebab mengapa saya kepingin sangat untuk melihat dengan mata sendiri "kejadian" forum tersebut.

Ir. Mohd Nizar telah hadir di forum 'Apa Selepas Ini (What's Coming Next)' dianjurkan oleh empat media cetak Cina utama iaitu Guang Ming Daily, Sin Chew Daily, Eye Asia dan Sin Chew-i.

Ia telah berlansung pada hari Ahad lalu (16 Mac 2008) di Dewan Dou Mu, Ipoh pada jam 2 petang. Inisiatif empat media cetak berbahasa Cina itu patut dipuji.

Ahli Forum lain termasuklah Naib Presiden PKR, Dr Lee Boon Chye, Penerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dan Ketua Editor Sin Chew, Tay Tian Yan.

Ir. Mohd Nizar, seorang jurutera bertauliah telah dijemput oleh Ngeh untuk menyertai forum tersebut.

Menurut sumber, kehebatan Ir. Mohd Nizar itu telah mengubah persepsi serong masyarakat Tionghua dan Tamil di negeri itu.

Sebaliknya, mereka melihat kemampuannya berbahasa Melayu, Tionghua, Tamil dan Inggeris sebagai tokoh yang tiada tandingan, malah berupaya untuk membela nasib mereka di negeri itu.

Mereka tetap percaya "bahasa" berupaya menjadi faktor utama dalam membentuk perpaduan masyarakat pelbagai kaum, apatah lagi Menteri Besar sendiri memiliki kemahiran berbahasa semua kaum di negeri Perak itu.

Apa yang penting kata sumber itu lagi, kekuatan Kerajaan Campuran di Perak akan lebih terserlah jika pelbagai program membela rakyat (negeri berkebajikan) dilaksanakan segera serentak dengan pembangunan ekonomi sebagai memenuhi tawaran pilihan raya ke 12 yang lalu.

Oleh kerana tiada kawan-kawan yang berkelapangan hari itu, saya membatalkan hasrat untuk meninjau forum ulung tersebut.

Lagipun, esoknya (17 Mac 2008) memang saya akan turun ke Ipoh untuk bertemu Ir. Mohd Nizar sekitar jam 3 petang bersama Naib Presiden PAS, Haji Mohd Sabu.

Thursday, March 27, 2008

Beri peluang untuk kami buktikan - MB Perak

Oleh: Ahmad Lutfi Othman & Azamin Amin | Foto Munizam

Sumber : Harakahdaily.net

Selepas dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh, ditambah lebih tujuh jam menunggu termasuk 'memberi laluan' kepada kunjungan hormat Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Wan Azizah selama setengah jam, di samping menanti tiga mesyuarat membabitkan pegawai kanan kerajaan negeri, akhirnya Harakah berpeluang mewawancara Menteri Besar Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin di pejabat Perhubungan PAS Perak, Jumaat, 21 Mac lalu.

Biarpun kesibukan membatasi, beliau dengan sikap tenang meluangkan masa kira-kira 45 minit dengan penuh bersemangat dan mesra melayan wawancara Ketua Pengarang Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN bersama wartawan AZAMIN AMIN. Pertemuan berharga itu tamat jam 6.40 petang bagi memberi ruang kepada beberapa pimpinan DAP Perak yang menunggu giliran mengadakan perbincangan dengan beliau, khususnya mengenai potfolio Exco Kerajaan Negeri.


HARAKAH:Bagaimana perasaan Tuan Haji setelah dilantik menjadi Menteri Besar Perak?

IR MOHAMMAD NIZAR: Assalamualaikum wbt, saudara-saudara yang dikasihi dan dirahmati Allah sekalian daripada Harakah.

Syukur alhamdullilah buat masa ini ketiga-tiga parti di negeri Perak ini telah bersetuju untuk menerima PAS sebagai peneraju dan memberi sokongan kepada perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang melantik saya sebagai menteri besar.

Oleh itu 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), 18 DAP, 7 KeADILan dan 6 PAS bersetuju sebulat suara, kesemuanya menyokong saya sebagai menteri besar tanpa berbelah bahagi. Jadi penubuhan kerajaan campuran ini adalah di atas dasar ingin melaksanakan kerajaan yang adil, yang amanah, berkebajikan, telus dan berwibawa.

Apabila saya diberi amanah untuk menerajui kerajaan campuran ini sudah tentulah perasaan saya adalah pertamanya memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT.

Yang keduanya perasaan cemas. Kenapa cemas...sebab ia merupakan suatu suasana yang belum pernah diterokai oleh mana-mana pihak khususnya di negara ini.

Jadi kita tidak ada garis panduan, kita tidak ada nasihat daripada mana-mana pihak dan jika kita nak cuba rujuk kepada 'set-up' yang ada di Kelantan jauh sekali, modul yang ada di Kedah juga tidak bersesuaian, contoh yang ada di Pulau pinang jauh berbeza, dan set-up di Selangor juga tidak boleh dimanfaatkan.

Akhirnya pimpinan PAS terpaksa bekerjasama dengan KeADILan dan DAP bagi membincangkan jalan tengah yang boleh diterima walaupaun tidak sepenuhnya.

Oleh itu terbit perasaan cemas, perasaan takut dan rasa ngeri pun ada. Malah ada juga perasaan pilu...

Tetapi dalam banyak-banyak perasaan ini yang membuatkan saya 'boleh pergi' (mampu meneruskan tanggungjawab) itu adalah perasaan keyakinan kepada Allah SWT.

Kerana ini adalah perkara yang tidak pernah dimimpikan oleh PAS Perak, jadi kita rasakan apabila ia ditakdirkan begitu, sudah pastilah Allah SWT memberikan jalan keluar sesuai dengan firman-Nya dalam surah At-Talaq yang bermaksud apabila '...kita bertawakal kepada Allah maka dia-Nya akan memberi jalan keluar...'

Itulah pengharapan yang tinggi membuatkan kami di Perak ini khususnya pimpinan daripada al-Fadil Ustaz Ahmad Awang selaku Naib Presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS Perak bersama seluruh sembilan orang lagi ahli Harian yang lain.

Sebab kita hanya minta hari itu (pilihan raya umum) nak menang, kot boleh pun jadi pembangkang, habis-habis hebat pun jadi pembangkang yang kuat, tetapi Allah ini Maha Mengetahui benda-benda sedemikian.

Sehingga satu lonjakan yang kita tidak boleh duga, penghormatan daripada parti KeADILan dan DAP kepada kami pun menunjukkan ini pun ada merupakan kurniaan Allah. Jadi kita terima ketetapan itu.

Bagaimana pula dengan proses awal penubuhan kerajaan campuran dan lantikan Tuan Haji selaku Menteri Besar yang pada mulanya mengundang perselisihan faham?

Bekenaan dengan masalah yang kita hadapi dalam penubuhan itu, sudah tentu adalah perselisihan faham. Terengganu yang mana kerajaan majoritinya adalah Umno, yang orang satu agama satu bangsa pun ada masalah, apatah lagi kami di sini.

Dan tiga parti, dan tiga bangsa maka sudah tentulah masalah jauh lebih besar tetapi alhamdulillah dengan kaedah-kaedah dan pengharapan yang tinggi itu, maka dapat dilaksanakan sehinggalah sampai ke tahap menteri besar itu boleh mengangkat sumpah.

Alhmadullilah buat masa ini, perasaan takut dan cemas tadi semakin berkurangan walaupun masih lagi kadang-kadang itu perasaaan bimbang kerana yang nak kita hadapi ini adalah perkara yang tidak menentu.

Jadi yang kita buat 'jambatan' ini, yang boleh menyeberang satu anak sungai tetapi banyak lagi sungai-sungai yang di depan itu yang mana jambatannya belum kita ketahui ada atau sebaliknya. Itulah perasaan yang dicurigai dan menghantui.

Walau bagaimana pun pengharapan kepada Allah itu masih kuat dan kita berkeyakinan suasana yang ada pada hari ini adalah merupakan ketentuan-Nya, jadi kita menerima.


Tuan Haji banyak menyebut bahawa Tuan Haji bukanlah menteri besar PAS, KeADIlan dan DAP tetapi menteri besar seluruh rakyat namun rakyat di bawah atau mungkin ada suara-suara daripada orang kecewa dengan pilihan raya lepas memomokan yang Tuan Haji ini menjadi boneka kepada DAP?

Saya tidak nafikan tanggapan sebegitu rupa memang ada terutama daripada musuh tradisi PAS iaitu BN. Walau bagaimanapun pada hakikatnya hari ini, pada awal-awal lagi DAP dan KeADILan memberi sokongan sepenuhnya terhadap pemerintahan dan teraju ini kepada PAS.

Yang keduanya segala syarat-syarat yang ditetapkan untuk sampai ke tahap membina kerajaan yang berteras kepada nilai-nilai universal ini, diterima oleh KeADILan dan diterima oleh DAP.

Yang ketiganya jika ianya dianggap sebagai boneka, sudah tentulah beberapa portfolio-portfolio yang penting dalam kerajaan negeri Perak akan cuba dikuasai oleh mereka.

Tetapi setakat ini segala-gala portfolio yang besar-besar, yang dasarnya adalah dasar yang kukuh ianya diserahkan kepada Menteri Besar.

Saya tidak nafikan tanggapan itu akan berterusan.

Yang keempatnya, perjalanan saya dengan masyarakat sepanjang 10 hari setelah menerima titah angkat sumpah menjadi menteri besar itu, penerimaan masayarakat berbilang kaum sama ada daripada Cina mahupun India cukup-cukup baik dan amat mengkagumkan.

Pada satu sesi di mana ada hampir-hampir 6,000 anggota masyarakat Cina, saya diminta untuk berucap sedikit, boleh katakan dari segi penerimaan itu amat menggalakkan dan menakjubkan.

Dan saya merasakan tanggapan negatif itu tidak benar dan memang kita terima hakikat ini bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan campuran dan saya tidak mewakili mana-mana parti dan individu. Saya mewakili keseluruhannya. Cuma masa dan waktulah yang akan membuktikan sama ada ianya boleh ataupun tidak.

Dan seperkara lagi yang tidak menunjukkan ia boneka ialah apabila DAP merancang untuk memulaukan sesi angkat sumpah itu dan saya sempat membincangkan perkara-perkara tersebut dengan Paduka Tuanku yang menyebabkan dikeluarkan satu kenyataan rasmi pimpinan DAP memohon keampunan daripada Tuanku Sultan Perak.

Akhirnya pada 17 Mac, Yang Berhormat Lim Kit Siang sendiri telah mendapat titah daripada Paduka Sultan untuk beliau bukan sahaja hanya membuat kenyataan tetapi secara fizikalnya memohon ampun dan itu merupakan satu penghormatan yang mana unsur-unsur boneka itu tidak wujud.

Maknanya akhir-akhirnya kembali kepada tahap menghormati keputusan yang dibuat oleh Paduka Seri Sultan Perak.

Tempoh hari di Perak, ada juga beberapa perhimpunan awal yang didalangi oleh Umno dalam soal untuk membangkitkan sentimen melayu mungkin dan bagaimana situasi serta keadaan sekarang di peringkat bawahan ini?

Pada awal-awalnya memang ada, satu barisan tindakan yang dipelopori oleh penyokong Umno barangkali, cuba mengadakan perhimpunan di Padang Polo, namun oleh kerana ketiadaan permit ianya telah berubah ke satu lokasi yang lain tetapi sambutannya agak hambar kerana mereka juga agak tersepit.

Kerana sekiranya mereka mengenengahkan isu boneka ini banyak sangat, maka ianya akan memberi kesan kepada ketaatan mereka kepada kebawah Duli Tuanku Sultan Perak.

Oleh itu mereka cukup berhati-hati dan apa yang mereka utarakan adalah menghormati keputusan dan mereka minta orang yang hadir itu menghormati keputusan daripada Istana. Jadi untuk itu walaupun mereka nak mengelurkan kenyataan boneka ini, mereka agak tersepit kerana apabila mereka sebut, sudah tentulah mereka tidak menghormati keputusan Istana.

Dan Istana melantik saya sebagai menteri besar adalah berdasarkan kepada faktor-faktor dan penilaian oleh Tuanku sendiri terhadap tiga calon yang diutarakan untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Jadi ketiga-tiga calon ini telah dianalisis secara terperinci dalam semua aspek oleh Paduka Seri Sultan dan apabila istana membuat kenyataan memperkenankan dan bertitah bahawa pimpinan daripada PAS yang mana Mohammed Nizar ini menjadi menteri besar, maka dengan sendirinya kalau mereka bertindak 'membonekakan' iaa akan sampai ke tahap tidak menghormati keputusan.


Selain disebutkan soal menterjemahkan manifesto pilihan raya, kerajaan adil beramah dan berkebajikan, mungkin boleh dirumuskan dalam bentuk yang boleh menunjukkan misi Tuan Haji sendiri di Perak?

Yang khususnya apa yang nak saya sampaikan kepada penduduk di Perak adalah...kerana rakyat Perak kombinasi kaumnya menunjukkan bahawa kita tidak boleh bangkitkan dalam isu-isu bangsa dan kaum ini sangat.

Sebab masyarakat Cina boleh dikatakan ada sekitar 41 peratus manakala Melayu 50 peratus dan selebihnya kaum-kaum lain.

Untuk itu apa yang ingin saya sampaikan selain nilai-nilai unversal itu, adalah kerajaan ini adalah kerajaan mesra rakyat, mesra perniagaan, mesra pelabur dan mesra fahaman ataupn mesra agama.

Oleh itu rakyat di negeri Perak faham bahawa kerajaan ini tidak akan meninggalkan dan menganiaya bangsa lain kerana teras kita adalah mesra rakyat, mesra perniagaan, mesra pelabur dan mesra fahaman dan mesra agama.

Malah secara khususnya kita dalam usaha nak menterjemahkan nilai-nilai universal tadi dalam konteks peradabadan dan perjalanan kerajaan ini ...insya-Allah.

Apa langkah-langkah awal yang dilakukan oleh Tuan Haji setelah menjadi MB Perak dalam menunaikan tuntutan rakyat, adakah mencontohi kerajaan Pulau Pinang yang didakwa kononnya menghapus DEB atau merujuk kepada kerajaan Kedah yang akan mengurangkan cukai tanah yang tinggi sebelum ini?

Hal itu suatu hikmat apabila kita terpaksa mengambil masa seminggu untuk membincangkan struktur yang paling sesuai dalam rangka untuk menubuhkan kerajaan campuran ini, maka dalam peluang tempoh tujuh hari itu, perlakuan yang berlaku di Pulau Pinang dan kerajaan Kedah termasuk di Selangor memberi gambaran kepada kita untuk menganalisis kesan hasil apa yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Besar di negeri masing-masing.

Secara tidak langsung memberi pengajaran kepada kami berhubung ada pekara-peerkara yang boleh disebut dan ada yang tidak boleh disebut malah ada perkara yang perlu disebut tetapi dengan nada yang cukup-cukup lunak.

Itulah hikmahnya dan jika diperkenankan lebih awal kerajaan negeri Perak ini kemungkinan kita akan tersasul malah kenyataan saya mungkin tersasar dan akan mewujudkan suasana yang sukar dihadapi.

Untuk itu kita menyatakan bahawa tawaran kami adalah berdasarkan kepada tawaran pilihan raya yang baru ini.

Jadi perkara yang disentuh pada awalnya setelah angkat sumpah ialah memansuhkan segala-gala notis untuk kompauan kepada setiap Majlis Perbandaran...kita ada 15 Majlis Perbandaran di Perak ini untuk sekali itu sahaja ini termasuk salah laku 'parking' letak kereta dan juga kepada penjaja. Itu sahaja. Lain daripada itu kita tidak sentuh.Sudah tentu ini memberi kesan baik kepada raakyat.

Lain kita tidak sentuh kerana kita khuatir kombinasi kaum yang ada akan mengundang kepada perkara-perkara yang kurang manis.

Tuan Haji ada menyebut tentang kerajaan yang mesra pelabur dan tadi pun Dato' Seri Anwar ada sebut tentang untuk menumpukan kepada peningkatan ekonomi di lima negeri yang diperintah Barisan Alternatif (BA), seolah-olah ada mesej yang nak disampaikan bahwa akan berlaku sekatan ekonomi khususnya daripada kerajaan Pusat, adakah Tuan Haji menjangka perkara itu dan apakah tindakan menangani isu itu?

Pertamanya saya nyatakan pada awal tempoh hari bahawa kerajaan campuran ini berpaksikan atas nilai-nilai universal itu sendiri dan kita akan menyampaikan kepada rakyat bahawa hasilnya ialah memberi manfaat kepada rakyat.

Yang pertamanya kebajikan, jadi rakyat ingin lihat apakah bentuk kebajikan yang tercerna hasil daripada kita yang membuatkan kerajaan yang adil dan telus ini. Mesti ada bentuk kebajikan kepada mereka dalam apa bentuk sekali pun...dalam bentuk sosialnya, pendidikannya.

Yang keduanya, kita mesti tunjukkan bahawa kerajaan ini mempunyai sifat-sifat 'kemesraan' dan tidak menakutkan pelabur-pelabur dalaman dan luaran.

Perkara-perkara yang menakutkan ialah sekiranya tiada 'continuity', kesinambungan daripada kerajaan terdahulu BN kepada kerajaan baru.

Kalau peralihan itu memberi beberapa simbol-simbol bahawa ada pertukaran dan perubahan besar yang melibatkan dasar maka ini akan menimbulkan kekhuatiran.

Oleh itu apa yang kita jangkakan ialah portfolio-portfolio di bawah menteri besar terdahulu adalah lebih kurang sama dengan menteri besar yang ada hari ini dan itu sekaligus memberi ketenteraman kepada peniaga-peniaga khususnya pelabur-pelabur.

Saya bagi contoh ada satu pelabur yang memang sudah menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan kerajaan negeri yang terdahulu (BN) yang kemudiannya menyatakan untuk memikirkan semula perjanjian tadi memandangkan kerajaan baru (BA) telah ditubuhkan dan berfikir untuk melabur di lokasi lain.

Saya sendiri telah menghubungi pelabur tersebut yang berasal daripada negara Timur Tengah, dan setelah diterangkan secara peribadi...dia berbahasa Arab dan saya juga boleh berbahasa sama dan alhamdullilah ia berjaya dipulihkan dan pelabur tersebut akhirnya mahu meneruskan hajatnya untuk melabur di negeri ini.

Yang ketiga yang kita katakan mesra ini ialah, semangat Persekutuan. Maknanya kerajaan yang ada pada hari ini tidak sekali-kali akan menunjukkan apa-apa ruang yang boleh menyebabkan rakyat berpendapat bahawa akan terjejas hubungan antara negeri dengan Persekutuan.

Oleh itu semangat 'Federalisme' itu akan sentiasa dijunjung dan kita tidak mahu terjejas. Dalam semua aspek dan kita tidak akan menafikan apa sahaja dasar-dasar misalnya Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Ini akan memberi ransangan ataupun pengajaran kepada kami untuk tidak menyentuh kalau kita merasakan ia 'sarang tebuan'.

Apabila ia disentuh sudah pastilah ada kucar-kacir. Kita mahu menjamin bahawa rakyat tiada pemikiran kedua yang mengurangkan keyakinan kepada keranjaan negeri yang baru.

Dalam proses awal ini kita berjaya menangkis apa juga perkara yang melambat dan menghantui proses kerajaan baru ini malah kita akan berusaha untuk mengelak liku-liku yang akan menjejaskan hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Bagaimana dengan perancangan Wilayah Pembangunan Koridor Utara (NCER), adakah akan diteruskan?

Barangkali secara kebetulan dan paling tepat ialah takdir Allah SWT, saya berkesempatan berjumpa dengan orang kuat NCER sendiri iaitu Dato' Seri Anuar Zaini memberi rakaman penghargaan kepada saya dan merasakan bahawa 'looking forward to various state newly government� untuk menjalinkan hubungan baik, untuk menjayakan NCER ini.

Saya menyambut baik dan dalam pertemuan itu Dato' Seri Anuar sendiri menyatakan bahawa ada beberapa perancangan dan perancangan itu tidak bersifat politik.

Oleh kerana BN menetapkan untuk memenuhi janji-janjinya dalam NCER, maka kita akan terus menyokong kerana itu azam YAB Perdana Menteri sendiri malah sudah ada perhubungan rapat yang telah terjalin antara saya sendiri dengan peneraju NCER ini.

Kita bermatlamat dan berharap bahawa pelaksanaan NCER ini sudah tentulah akan memberi peluang dari segi pekerjaan, pembangunan dan infrastruktur negeri ini.

Kita tidak perlu persoalkan buat masa ini sebab kita rasakan NCER ini boleh diteruskan termasuk apa yang dirancang oleh Jabatan Perdana Menteri dan sebagainya.

Dalam pada itu timbul di beberapa negeri kemungkinan di Perak dari segi salah-laku yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu termasuk isu fail-fail hilang seumpamanya, jadi adakah berlaku di sini atau pentadbiran Tuan Haji akan membongkar dan mengambil tindakan-tindakan atas salah laku berkenaan?

Yang ini juga merupakan elemen yang cukup kita berhati-hati dan mengambil pengajaran daripada negeri-negeri lain.

Hal ini memberi gambaran kepada masyarakat seolah-olah ada usaha untuk 'mencari kesalahan' ataupun 'witch hunting'. Kita seboleh-bolehnya tidak ada perasaan berdendam begitu.

Pada malam 8 Mac itu, setelah keputusan diumumkan ramai penyokong BA ini mula berkerumun dan mengepung bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK) dan pejabat Menteri Besar sehinggakan polis dan anggota keselamatan terpaksa membuat tindakan. Jadi kita terpaksa menenangkan suasana.

Saya sendiri telah berhubung dengan Ketua Polis Perak, Dato� Zulkifli Abdullah sendiri sedangkan pada malam itu saya baru berjaya dipilih sebagai Adun Pasir Panjang, tetapi dalam suasana nak membina sebuah kerajaan, saya telah dipanggil oleh anggota keselamatan untuk menenangkan suasana.

Jam 4 pagi (9 Mac) saya beritahu kepada semua pimpinan PAS dan penyokong yang mengepung bangunan itu supaya bertenang dan setelah mendapat kepastian daripada Ketua Polis, barulah kita bersurai.

Kita telah diberi jaminan oleh Ketua Polis Perak bahawa tidak ada apa-apa barang yang keluar masuk daripada bangunan itu kecuali barangan peribadi atau persendirian dan anggota keselamatan telah memenuhi jaminan mereka.

Kita tidak ada niat untuk membongkar kerana kita merasakan perkara itu akan menokok-tambahkan kemarahan rakyat. Biarlah apa yang berlaku itu akan dinilai oleh rakyat sendiri.

Kita tidak mahu ia akan memberi gambaran yang negatif kepada kerajaan negeri yang baru, termasuk imej buruk kepada bukan sahaja kepada ahli-ahli PAS tetapi penyokong yang hendak menyokong kita seandainya perkara-perkara yang didakwa dan salah-laku itu tidak wujud.

Pendekatan dan 'approach' yang saya lakukan ini diterima baik oleh rakan-rakan, supaya tidak menujukkan kerajaan ini mempunyai sifat dendam dan hanya nak mencari kesalahan sahaja.

Walaupun perkara itu mungkin ada kerana sepanjang perjalanan kita nanti ia mungkin akan terserlah, kalau ianya berlaku kita akan berhubung dengan agensi kerajaan yang lain seperti Badan Pencegah Rasuan (BPR) untuk membuat tindakan mengikut proses undang-undang.

Kita tidak akan membuat tindakan sendiri, mencungkil atau mencari kesalahan orang. Jika ada, biarlah BPR dan polis atau agensi berkaitan melaksanakan tanggungjawab mereka.

Mungkin ada sesuatu yang Tuan Haji ingin perkatakan kepada barisan kepimpinan kerajaan terdahulu yaang diketuai oleh Dato' Seri Tajol Rosli?

Dalam ucapan semasa angkat sumpah, saya memberi penghargaan terima kasih kepada bekas menteri besar Dato' Seri Tajol Rosli dan wakil-wakil rakyat Umno di atas khidmat yang mereka telah sumbangkan kepada penduduk di negeri ini.

Saya juga membuat mengalu-alukan sekiranya ada perkara-perkara baik yang difikirkan perlu dan ingin mereka sampaikan, berilah cadangan itu kepada kami. Dan kita juga tidak secara terus-meneruskan menyatakan apa sahaja yang dirancang oleh mereka dalam konteks sedang, dalam dan akan dilaksanakan, kita akan terus cantas ... tidak sama sekali.

Kita akan mengkaji apa yang manfaatkan rakyat, kita akan teruskan. Mana-mana yang perlu 'ditablekan' semula kita akan kaji balik.

Jadi untuk itu kita tidak mahu membanyakkan musuh. Sudahlah musuh yang ada pun kita perlu tangkis inikan pula nak menambah musuh yang baru ... saya rasa itu tidak cermat dan tidak manfaat.

Harapan Tuan Haji sendiri dan saranan kepada rakyat khususnya di Perak? Berdepan situasi politik hari ini?

Kepada semua khususnya rakyat di negeri ini berilah kesempatan saya dan kerajaan campuran yang baru sekurang-kurangnya 100 hari. Tak pastilah sama ada 100 hari ini merupakan 'magical numbers' tetapi tiga bulan itu adalah suatu tempoh yang adil bagi menilaikan dan memberi peluang.

Sebab suasana di Perak merupakan 50 tahun dalam dakapan BN, jadi apa yang berlaku ini, satu perkara yang tidak boleh diduga dan tidak dapat kita 'imagine' malah nak dibayangkan sikit pun tak boleh.

Jadi untuk itu kita minta ya ... harapan kita supaya rakyat di Perak ini memberi sokongan.

Yang keduanya apa sahaja tohmahan-tohmahan, apa sahaja perkara yang tidak datang daripada sumber kerajaan campuran negeri Perak berupa sistem pesanan ringkas (SMS), surat-surat layang janganlah diambil kira dan dipedulikan.

Anggap itu sebagai taktik-taktik musuh menggunakan logo PAS dan menyatakan bahawa kerajaan ini akan mengharamkan macam-macam, anggap itu sebagai tidak betul.

Harapan saya kepada seluruh ahli-ahli PAS, penyokong PAS dan KeADILan untuk sama-sama kita berazam dan memohon pertolongan daripada Allah SWT mudah-mudahan dipanjangkan hayat dan dikukuhkan kerjaaan ini.

Kerana inilah merupakan struktur yang boleh memberikan suatu alternatif kepada rakyat negeri Perak yang boleh mencerminkan peradaban seluruh rakyat di negara ini.

Takdirnya struktur di Perak ini boleh bertahan, maka ianya merupakan 'the ideal example' (contoh terbaik) bagi negeri-negeri lain ... atas seba-sebab dan sifat uniknya. Jika Perak boleh bertahan apatah lagi di negeri-negeri yang tidak mempunyai kombinasi kaum seumpama ini.

Untuk itu saya merayu dan mengharapkan ... berilah peluang.

876 ketua kampung letak jawatan 1 Mei

Sumber: Utusan Online
Oleh ABDUL RAZAK DIN


IPOH 26 Mac – Seramai 876 ketua kampung di Perak akan meletakkan jawatan beramai-ramai berkuatkuasa 1 Mei ini kerana tidak sehaluan dengan kerajaan campuran Perak pimpinan DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Seramai 13,140 Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga akan turut berbuat demikian atas alasan yang sama.

Presiden Pertubuhan Ketua Kampung Negeri Perak (PKKNP), Zukiman Jalil berkata, notis meminta mereka meletakkan jawatan telah diedar dan akan diserahkan kepada Menteri Besar Perak yang baru pada 1 Mei ini.

Bagaimanapun katanya, jumlah yang memilih untuk meletakkan jawatan belum diketahui tetapi mereka perlu berbuat demikian kerana sebelum ini dipilih oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Watikah pemilihan diberikan oleh Menteri Besar Perak yang dahulu dan tidak adil untuk kami memberikan kerjasama kepada kerajaan campuran DAP, Pas dan PKR sekarang.

“Adalah lebih baik kami meletakkan jawatan secara terhormat daripada diarahkan berbuat demikian dan perbincangan juga telah dibuat dengan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Shaarani Mohamad.

“Jika pun kami memegang jawatan itu, kami menjadi ketua kampung pembangkang,” katanya pada majlis perjumpaan dengan Pertubuhan Ketua-Ketua Kampung Kinta di sini hari ini.

Seramai 60 ketua kampung hadir pada majlis perjumpaan tersebut.

Zukiman berkata, notis peletakan jawatan berkenaan telah diedarkan kepada beberapa daerah di negeri ini seperti Parit, Kampung Gajah dan Manjong.

“Jumlah sebenar yang akan meletakkan jawatan akan diketahui pada 29 April ini setelah kami mengumpul kesemua notis berkenaan,” katanya.

Ketua-ketua kampung di Perak menerima elaun bulanan sebanyak RM600 dengan RM400 diberi oleh kerajaan Persekutuan dan RM200 lagi oleh kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Zukiman menasihatkan ketua-ketua kampung supaya tidak lagi menggunakan dewan orang ramai untuk sebarang urusan.

“Ketua kampung perlu tinggalkan dewan orang ramai secara profesional dan tidak mengambil sebarang harta benda di dewan tersebut kerana ia milik kerajaan negeri,” katanya.

Menteri Besar, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin semalam mengumumkan kerajaan negeri akan memperkenalkan semula sistem pengundian dalam kalangan penduduk untuk memilih ketua kampung.

Ini kerana katanya, sistem pelantikan yang diamalkan kini telah menimbulkan krisis di peringkat akar umbi apabila calon yang dikehendaki penduduk tidak terpilih.

Kerajaan negeri merancang memperkenalkan kaedah baru itu selepas tempoh jawatan ketua-ketua kampung sedia ada tamat pada 31 Disember depan atau apabila ada ketua kampung meletakkan jawatan.

Wednesday, March 19, 2008

Ketua Pemuda PAS bertemu MB Perak


MESRA... Kunjungan hormat Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan rombongan ke Pejabat YAB. Menteri Besar Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, 51, sebagai Menteri Besar Perak ke-10 pada hari ini. (Foto: Safarizal Salleh).

Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan rombongan menziarahi MB Perak yang baru di Ipoh. Kunjungan tersebut sudah pasti menandakan sokongan padu dari pihak Pemuda PAS Pusat terhadap kepimpinan Ir. Nizar yang bakal merubah Perak dari pelbagai korupsi dan ketidakadilan kepada rakyat yang dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini.

Hormati, taati keputusan Sultan Perak perkenan kerajaan campuran


BAGAN DATOH, 19 Mac - Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin meminta semua pihak agar menghormati dan mentaati keputusan Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang memberi perkenan dan merestui penubuhan kerajaan campuran pakatan DAP, KeADILan dan PAS di negeri ini.

Beliau berkata mana-mana pihak yang cuba mencabar arahan dan ketetapan Sultan Perak bermakna mereka telah menderhaka kepada institusi diraja.

Semua pihak perlu menghormati kerajaan campuran yang dibentuk kerana ia dipilih oleh rakyat melalui satu pilihan raya yang sah dan kerajaan ini tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 112 mangsa ribut kawasan Hutan Melintang dan Bagan Datoh di sini hari ini.

Menurut Bernama, Mohammad Nizar berkata demikian ketika ditanya mengenai tuntutan sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penyebaran surat layang dan khidmat pesanan ringkas (SMS) di Perak yang mengesyorkan supaya diadakan semula pilihan raya umum baru kerana mendakwa kerajaan campuran negeri ini rapuh dan tidak stabil.

Sehubungan itu beliau menasihatkan penduduk negeri ini agar tidak mudah terpengaruh dengan surat layang serta SMS yang cuba memburuk-burukan kepimpinan kerajaan campuran yang mentadbir Perak.

Sementara itu Mohammad Nizar menegaskan bahawa semua ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang sedia ada di negeri ini perlu meneruskan tugas mereka seperti biasa kerana perkhidmatannya masih diperlukan oleh kerajaan negeri.

Beliau turut menafikan kononnya kerajaan negeri ada mengeluarkan arahan kepada ketua kampung dan JKKK supaya mengosongkan dewan orang ramai di kawasan masing-masing dan mengeluarkan wang akaun bank milik JKKK.

Menteri Besar itu yang kesal dengan dakwaan palsu yang disebarkan pihak tertentu itu berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua pegawai daerah, penghulu mukim, ketua kampung dan JKKK seluruh Perak pada minggu depan.

Sumber: Harakahdaily.net

Mulakan Tugas Melawat Mangsa Letupan Kilang Tepung

Gambar dari Berita Harian

Menteri Besar Perak yang baru Ir. Mohammad Nizar bin Jamaluddin memulakan tugas sebagai MB dengan melawat mangsa letupan terowong bawah tanah kilang tepung Malayan Flour Mill di Segari.

Dalam kejadian itu tiga pekerja kilang tepung terbunuh manakala empat lagi cedera termasuk seorang parah.

Keprihatinan MB yang bergegas melawat mangsa serba sedikit dapat meredakan kesedihan kaum keluarga mangsa yang terlibat. Semoga Allah memberikan kekuatan dan kemudahan pada MB Perak menjalankan amanahnya untuk seluruh rakyat Perak.


Tuesday, March 18, 2008

Jadikan masjid tempat pengembangan ilmu tanpa rasa takut - MB Perak

Oleh: Johari Jaafar

IPOH, 18 Mac (Hrkh) - Menteri Besar Perak yang baru, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, dalam ucapan sulungnya ketika menyampaikan tazkirah di Masjid Negeri mahu masjid di seluruh negeri ini menjadi tempat pengembangan ilmu dengan lebih berkesan tanpa rasa bimbang dan takut dengan sebarang ugutan.

Menurut beliau, selama ini masjid dibelenggu dengan perasaan bimbang untuk menyampaikan ilmu Islam secara terus terang, ini menyebabkan masyarakat Islam tidak mendapat maklumat yang sebenarnya.

Selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar di Istana Iskandariah pada malamnya Ir Mohammad Nizar menunaikan solat maghrib dan menyampaikan tazkirah di Masjid Negeri Perak.

"Para pendakwah di seluruh negeri perlu meningkatkan usaha menyebarkan ilmu Islam tanpa rasa bimbang dan takut, yang penting mereka perlu menyampaikan ilmu Islam kepada seluruh masyarakat Islam agar rakyat khususnya umat Islam memahami ajaran Islam yang sebenar," ujar beliau.

Beliau berharap para pendakwah dan jawatankuasa masjid menerima kemenangan Barisan Rakyat dengan mempertingkatkan lagi penyebaran ilmu menerusi masjid dan surau.

Menurut beliau, gejala murtad, keruntuhan moral generasi belia hari ini antara lain disebabkan ruang untuk menyebarkan ilmu mendapat sekatan untuk disampaikan di masjid.

Oleh itu kemenangan Barisan Rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac lalu adalah untuk membebaskan masjid daripada kongkongan pihak tertentu agar usaha menyebarkan ilmu Islam dapat dijalankan dengan lancar dan baik.

Hadir sama di majlis itu Imam Besar Masjid Negeri, Dato' Sheikh Mohamad Nor Mansur Al-Hafiz dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak Dato' Jumri Suri.

Sumber: Harakahdaily.net

Ketua kampung, JKKK terus khidmat – MB Perak


KUALA KANGSAR 17 Mac – Semua perkhidmatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), ketua kampung dan sebagainya di seluruh Perak perlu diteruskan, kata Menteri Besar, Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini.

Katanya, beliau ada menerima laporan bahawa ada pihak tertentu di kampung-kampung mengeluarkan peralatan, perabot dan sebagainya dari dewan orang ramai dan balai raya JKKK, sedangkan tiada arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan baru.

“JKKK, apa juga perkhidmatan, penggunaan bangunan hendaklah diteruskan dan digunakan mengikut peraturan yang ditetapkan, tidak akan kita buat diskriminasi dan penganiayaan kepada mereka.

“Ketua kampung kalau sekiranya tempoh mereka masih ada, maka teruskan,” katanya kepada pemberita selepas istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Beliau menasihatkan semua pihak jangan cemas kerana sebenarnya JKKK masih berfungsi sebagai JKKK selagi perkhidmatan mereka belum ditamatkan.

Katanya, beliau akan mengkaji kedudukan JKKK dan memberi jaminan tidak akan berlaku penganiayaan.

“Mana-mana pengerusi JKKK dan JKKK yang mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dan bersedia berkhidmat dengan kerajaan Barisan Rakyat sekarang serta bersedia menerima dasar dan syarat kerajaan yang baru ini kita pertimbangkan kedudukan mereka,” katanya.

Mohammad Nizar juga memberi jaminan sebarang kegiatan yang dijalankan selama ini di balai raya dan dewan orang ramai seperti aktiviti Kemas masih boleh diteruskan seperti biasa.

“Tiada ada arahan dari mana-mana pihak untuk mengosongkan balai raya, semua harta tersebut adalah milik kerajaan dan rakyat, bertukarnya kerajaan bukan bermakna harta kerajaan yang lama menjadi milik kerajaan yang lama, ia tetap milik kerajaan dan rakyat,” katanya.

Mohammad Nizar, 51, mengangkat sumpah hari ini sebagai Menteri Besar Perak yang baru, selepas persetujuan mengadakan pakatan kerajaan campuran antara DAP, PKR dan Pas untuk menerajui kerajaan negeri dicapai.

Sumber: Utusan.com.my

Mohamad Nizar angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak


KUALA KANGSAR 17 Mac – Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru, selepas persetujuan mengadakan pakatan kerajaan campuran antara DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas untuk mengetuai pentadbiran kerajaan negeri dicapai.

Pada istiadat yang berlangsung pukul 11.40 pagi di hadapan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah di Istana Iskandariah di sini, Mohammad Nizar, 51, menerima watikah pelantikan sebelum diteruskan dengan majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia sebagai Menteri Besar Perak yang ke-10.


Beliau yang berpakaian baju Melayu lengkap berwarna hitam kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk V. T. Singam.
Hadir sama pada istiadat itu ialah Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim, Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria, bekas Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali serta wakil anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada kerajaan campuran itu.

Mohammad Nizar mengangkat sumpah hari ini, yang merupakan hari lahir beliau, selepas majlis itu terpaksa ditangguhkan pada Khamis lepas kerana DAP, PKR dan Pas tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam penubuhan kerajaan campuran.
- Bernama

Sumber: Utusan.com.my

Nizar : Jurutera yang boleh Berbahasa Inggeris, Cina dan Tamil


Ramai yang tertanya-tanya bagaimana wakil rakyat Pasir Panjang dari PAS, Ir Mohamad Nizar Jamaludin, 51, dipilih sebagai Menteri Besar Perak padahal DAP mempunyai lebih ramai Adun (18) dan PKR juga mempunyai lebih dari PAS iaitu tujuh, manakala PAS hanya ada enam sahaja.

Dia sebenarnya bukan dipilih kerana PAS tetapi faktor utamanya adalah kerana dia paling layak di kalangan sembilan wakil rakyat Melayu dan beragama Islam yang ada di kalangan Adun DAP, PKR dan PAS yang membentuk kerajaan bersama itu.

PKR hanya ada tiga Melayu manakala PAS ada enam. DAP tidak mempunyai seorangpun Adun berbangsa Melayu dan beragama Islam. Menjadi syarat kepada MB Perak (sebagaimana termaktub dalam undang-undang tubuhnya) adalah Melayu dan beragama Islam. Hanya Sultan Perak boleh mengubah syarat ini.

Rakyat Perak bukan sahaja bakal memperolehi seorang Menteri Besar yang boleh memberikan khutbah Jumaat bahkan juga seorang jurutera yang boleh bercakap empat bahasa, Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris.

Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, 51, dilahirkan pada 17 Mac 1957 di Kampung Air Hitam Labu, Kampar Perak. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Kampar, kemudiaannya meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Anglo Chinese, Kampar.

Selepas itu menyambung pelajaranya di Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, Ipoh. Pada tahun 1972 beliau mengambil Advance Level (A Level) di Norwich City College Of Arts & Technology Norwich, Norfolk, England.

Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Aston di Brimingham, United Kingdom.

Sekembalinya ke tanahair, beliau bekerja di beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Kerja Raya bahagian bengkel dan kuari, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA - Daya Urus), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Beliau berpengalaman luas dalam menjalankan beberapa projek besar negara. Antaranya Projek Dayabumi fasa 2 & 3 pada tahun 1983, projek Pusat Islam (BAHES, Jabatan Perdana Menteri (1984), projek Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu (1985), pengurusan bangunan-bangunan kerajaan dan swasta termasuk KOMTAR, Bangunan Persekutuan Gunasama, pusat membeli belah dan pengurusan semua lif di hospital Kerajaan Negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis sehingga kini.

Sebelum dilantik menjadi Menteri Besar beliau merupakan Pengarah Urusan di beberapa firma swasta. Di luar negara pula beliau banyak menjalankan beberapa projek di beberapa buah negara, antara di Birmingham, United Kingdom, Zug Switzerland, Miano Italy, Bangkok Thailand, Sdyney dan Goldcoast Australia, Doha Qatar dan Tehran, Iran.

Dalam bidang politik pula, beliau berkecimpung dengan PAS dengan memegang Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Kampar (1999 - 2001). Beliau menjawat jawatan Yang Dipertua PAS kawasn Kampar (2001 hingga kini). Di peringkat PAS Negeri Perak, beliau memegang jawatan Bendahari PAS Negeri (2001- 2006), Setiausaha PAS Negeri (sebelum menjadi Menteri Besar Perak).

Walaupun beliau seorang yang berpendidikan tinggi tetapi beliau amat aktif dengan kegiatan masyarakat. Antaranya beliau memberikan kuliah dan majlis ilmu di masjid-masjid dan surau-surau, ceramah motivasi pelajar dan institusi pengajian tinggi, menyampaikan khubah jumaat, bantuan kepada fakir miskin, mewakili PAS dalam program program kaum bukan Islam serta terlibat secara langsung dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Beliau mempunyai lapan orang cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Fatimah Taat. Anaknya pertama merupakan lulusan BA Syariah Universiti Mut'ah, Jordan. Anak kedua pula lulusan hafiz al-Quran di Universiti Mut'ah Jordan. Anak yang ketiga juga lulusan hafiz al-Quran dari Universisiti Damsyik, Syria dan Universiti Lebanon. Manakala anak yang ke empat hingga ke lapan sedang belajar di beberapa pelbagai institusi pendidikan dalam negeri.

Menurut Setiausaha Kerja PAS Perak, Khalilul Abdul Rahman, Nizar merupakan seorang yang pemurah dan mudah bergaul dengan masyarakat dan mengambil berat masalah kakitangan di bawahnya. "Jika ada kakitangannya yang menghadapi masalah, beliau akan cepat menyekesaikan masalah temasuk masalah kewangan," jelas Khalilul.

"Sebagai ketua pejabat, beliau seorang yang peramah dengan orang ramai termasuk orang bawahannya dan beliau bersedia mendengar pandangan orang lain," ujar beliau.

Memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat menjadi agenda perjuangannya, kerana itu beliau bergiat cergas di dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO). Umpamanya Gabongan Pengguna Air Perak (GPAP).

Keistimewaan beliau, walaupun lulusan dari luar negeri beliau mampu mengajar (buka kitab) di masjid-masjid dan suara-surau.malah beliau sendiri mampu mengelenggarakan ibadah kurban termasuk penyembelihan bintang kurban.

Haji Nizar juga selain boleh berbahasa Inggeris juga boleh berbahasa Cina dan Tamil. Inilah Menteri Besar yang dikehendaki oleh rakyat, mampu mentadbir, berwibawa dan mempunyai pengetahuan agama dan boleh membaca khutbah jumaat.
Perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang memilih Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak memang tepat, oleh itu semua pihak perlu akur dengan keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak.

Sumber : siasahdaily.blogspot.com

MB Perak angkat sumpah pada tarikh hari jadinya

Sumber : Harakahdaily.net
Oleh : Johari Jaafar

KUALA KANGSAR, 17 Mac (Hrkh) - 17 Mac 2008 bukan sahaja tarikh yang bersejarah kepada kerajaan campuran di negeri ini apabila dengan rasminya Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang ke-10.

Seluruh ahli dan penyokong Barisan Alternatif dan DAP layak bergembira dengan kemenangan pada 8 Mac lalu dan sewajarnya juga mereka bergembira dengan pelantikan Adun Pasir Panjang sebagai Menteri Besar yang baru.

Namun di sebalik peristiwa bersejarah itu, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mencatat `hari ini dalam sejarah' apabila upacara angkat sumpah Menteri Besar di Istana Iskandariah, Bukit Chandan pada 17 Mac adalah tarikh lahir beliau yang ke lima puluh satu.

Beliau dilahirkan pada 17 Mac 1957 di Kampung Air Hitam Labu, Kampar Perak.

Hari ini merupakan hari yang paling ceria buat Ir Mohamad Nizar Jamaluddin kerana ia bukan sahaja hari angkat sumpahnya sebagai Menteri Besar Perak yang ke-10, tetapi ianya juga hari lahirnya yang ke lima puluh satu.

Sehubungan itu seluruh pimpinan Barisan Alternatis dan PAS serta ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya dan rakyat negeri Perak amnya mengucapkan selamat hari jadi kepada Ir Mohammad Nizar.

Seluruh rakyat dan pemimpin BA dan DAP mengharapkan kerajaan campuran yang dibentuk nanti merupakan kerajaan yang adil, bersih, mesra rakyat, dan mengutamakan kepentingan rakyat serta membela golongan yang tidak berkemampuan.