Tuesday, March 18, 2008

Mohamad Nizar angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak


KUALA KANGSAR 17 Mac – Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru, selepas persetujuan mengadakan pakatan kerajaan campuran antara DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas untuk mengetuai pentadbiran kerajaan negeri dicapai.

Pada istiadat yang berlangsung pukul 11.40 pagi di hadapan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah di Istana Iskandariah di sini, Mohammad Nizar, 51, menerima watikah pelantikan sebelum diteruskan dengan majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia sebagai Menteri Besar Perak yang ke-10.


Beliau yang berpakaian baju Melayu lengkap berwarna hitam kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk V. T. Singam.
Hadir sama pada istiadat itu ialah Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim, Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria, bekas Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali serta wakil anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada kerajaan campuran itu.

Mohammad Nizar mengangkat sumpah hari ini, yang merupakan hari lahir beliau, selepas majlis itu terpaksa ditangguhkan pada Khamis lepas kerana DAP, PKR dan Pas tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam penubuhan kerajaan campuran.
- Bernama

Sumber: Utusan.com.my