Thursday, April 3, 2008

Tadbir secara telus dan adil, kerajaan Perak tetapkan lima langkah

Johari Jaafar

IPOH, 3 April (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak telah menetapkan lima langkah yang akan dijalankan untuk mempastikan pemerintahan kerajaan baru negeri ini berjalan secara telus dan adil.

Langkah pertama ialah bagi mempastikan satu pertiga ahli Majlis Kerajaan Tempatan dilantik dari kalangan bukan politik tidak saperti yang diamalkan oleh Kerajaan BN Perak sebelum ini di mana ahli berkenaan dimonopoli oleh golongan politik.

"Inilah pembaharuan yang kita hendak jalankan agar golongan akademik, profesional dan badan bukan kerajaan diberikan tempat dalam Majlis Kerajaan Tempatan agar mereka juga dapat menyumbangkan buah fikiran untuk kebaikan rakyat bersama," demikian ditegaskan oleh Menteri Besar Perak, Ir Mohammad Bizar Jamaluddin dalam sidang akhbar di pejabatnya semalam.

Menurut beliau, ramai dari kalangan kakitangan berjawatan tinggi yang telah bersara ingin menyumbangkan pandangannya bagi memajukan lagi Majlis Kerajaan Tempatan tetapi mereka tidak mempunyai ruang berbuat demikian.

Oleh kerana itu apabila Kerajaan Pakatan Rakyat menetapkan satu pertiga dari ahli majlis dilantik dari kalangan bukan ahli politik, ia akan memberikan ruang kepada pesara-pesara kakitangan kerajaan yang suatu ketika itu menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan.

Tambahnya, langkah kedua yang akan diambil, semua wakil rakyat dan Ketua Jabatan Kerajaan Negeri akan mengisytiharkan hartanya kepada Dewan Undangan Negeri bagi mempastikan ketelusan kerajaan yang ada sekarang ini.

"Langkah ini kita akan buat berperingkat-peringkat, buat pertamanya semua Exco Kerajaan Negeri dari ketiga-tiga parti akan mengisytiharkan hartanya dalam Dewan Undangan Negeri," jelasnya.

Sementara itu, semua projek-projek kerajaan akan melalui tender terbuka dan keutamaan akan diberikan kepada rakyat negeri Perak, sekaligus memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Pakatan Rakyat bagi mempastikan kelelusan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Perak.

"Kita mahu tender dibuat secara terbuka bukan seperti amalan yang dijalankan oleh Kerajaan BN sebelum ini yang boleh disifatkan tidak telus," jelasnya.

Bagi mempastikan setiap aduan yang dikemukakan oleh rakyat sampai kepada Kerajaan Negeri Perak, Kerajaan Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk mengwujudkan Lembaga Panel Aduan Rakyat agar setiap aduan ke atas kakitangan kerajaan negeri, wakil rakyat dan Exco dapat didengar dan diambil tindakan, katanya.

"Sesiapa sahaja boleh membuat aduan, melahirkan rasa tidak puas hati kepada Lembaga Panel Aduan Rakyat, kita berjanji akan mendengar semua aduan yang dibuat walaupun aduan itu ditujukan kepada wakil rakyat atau Exco Kerajaan Negeri,"ujar beliau.

Menurut beliau lagi, bagi mempastikan semua urusan Kerajaan Tempatan berjalan dengan baik, telus dan beramanah, Kerajaan Pakatan Rakyat juga telah bersetuju untuk membentuk satu Badan Audit Luar bagi semua urusan Kerajaan Tempatan.

"Inilah reformasi pentadbiran awal yang kita lalukan dan akan membuat lebih banyak pembaharuan bagi memperlihatkan apa yang kita janjikan dalam manifesto pilihan raya yang dibuat oleh Pakatan Rakyat akan dilaksanakan sesuai dengan slogan Perak Maju, Makmur dan Berkebajikan," tambah beliau.